/Rody Kristal Bakal Nikahi Atlet Kebangsaan April Depan

Rody Kristal Bakal Nikahi Atlet Kebangsaan April Depan

Sharing is caring!

Nampaknya bulan April nanti merupakan bulan pilihan untuk selebriti di Malaysia untuk menuju ke gerbang perkahwinan!

Antaranya, pelakon dan model Dyas Mokhtar yang baru sahaja melangsungkan pertunangannya minggu lalu memilih untuk bernikah pada April tahun hadapan.

Penyanyi tersohor negara Shila Amzah yang baru sahaja bertunang 3 Julai lalu khabarnya juga akan bernikah pada April.

Semalam, gitaris kumpulan Kristal iaitu Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin telah menjadi tunangan kepada penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman.

Dan pasangan ini juga memilih bulan keempat itu untuk melangsungkan perkahwinan mereka!

Pasangan itu telah diraikan di majlis yang diadakan di rumah keluarga Izwani (Niena) di Kulai, Johor.

“Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan lancar. Selepas ini, saya hidup sebagai tunangan orang dan perlu menyimpan duit untuk majlis perkahwinan kami nanti.

“Selepas perbincangan keluarga diadakan, insya-Allah kami akan bernikah pada April 2018. tarikhnya saja yang belum ditentukan,” katanya dipetik BH Online.

Bagi sesiapa yang mengikuti laman Instagram kedua-dua figura ini, sudah pasti anda terhibur dengan kapsyen sweet masing-masing apabila memuat naik gambar mereka berdua.

Niena turut memuat naik gambar pertunangan mereka di laman itu. Ternyata, kapsyen yang diletakkan juga pastinya ada kaitan dengan sukan yang diceburinya.

Wanita 30 tahun ini turut berkongsi detik-detik manis semasa bakal ibu mertuanya itu menyarungkan cincin ke jari manisnya.

“Kalau ambil penalti tahulah nak buat muka garang atau serius. Tapi kalau bab ini, tak tahu macam mana nak control ayu.

“Maaf auntie, tangan penjaga gol kasar sangat,” tulisnya berseloroh.

Dalam pada itu, Niena turut berterima kasih kepada ahli keluarga serta kenalan yang membantu menjayakan majlis yang bermakna baginya serta Rody.

Dia juga meminta maaf kepada pihak yang tidak dijemput kerana menurutnya majlis yang diadakan kecil-kecilan. Niena juga berjanji akan menjemput mereka pada majlis akan datang.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan. Terima kasih banyak-banyak!

“Buat yang tidak dijemput, tunggu penalti di skor akhir, kami akan jemput. Maaf sangat sebab majlis yang diadakan hanya kecil-kecilan, tak dapat jemput ramai-ramai,” tulisnya lagi.

Tahniah diucapkan buat pasangan sama cantik, sama padan ini! Nampaknya ramailah artis yang akan mendirikan tangga pada April tahun hadapan. Agak-agaknya apalah signifikan bulan empat ni ya?

 

sumber : mynewshub

Sharing is caring!