/Hasrat Buka Yayasan Kebajikan Sendiri, Niat Murni Dari Siti Saleha

Hasrat Buka Yayasan Kebajikan Sendiri, Niat Murni Dari Siti Saleha

Sharing is caring!

Setuju jika kami mengatakan selebriti antara golongan yang sering mendapat tumpuan jika terlibat dengan aktiviti kebajikan.

Contohnya seperti Heliza Helmi yang kerap ke luar negara menghantar dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Syria dan Rohingya.

Pasangan Noh Salleh serta Mizz Nina turut tidak terlepas menyertai misi kemanusian yang diadakan.

Kini, seorang lagi selebriti menyatakan hasratnya untuk membantu mereka yang memerlukan.

Khabarnya, Siti Saleha mengimpikan untuk membuka yayasannya sendiri sejak beberapa tahun aktif dalam melakukan kerja amal.

“Sudah tentu saya mahu melakukannya. Ia adalah impian saya.

“Tapi, saya tahu ia bukan satu perkara mudah kerana memerlukan perancangan yang rapi dan khidmat ramai tenaga kerja,” katanya dipetik Sinar Online.

Sementara itu, menurut teraju utama drama bersiri 7 Hari Mencintaiku ini, dia tidak mahu hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja, malah berazam untuk membantu semua golongan.

“Kalau boleh, saya tak nak fokus kepada satu-satu perkara. Saya mahu buat semua.

“Saya seronok melakukan pelbagai kerja amal sebelum ini. Ia beri saya satu kepuasan untuk membantu,” tambahnya.

Dalam pada itu, pemegang title Pelakon TV dan Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-27 (ABPBH 27) ini telah berkolaborasi dengan jenama Poplook bersempena bulan kesedaran kanser payudara.

Menerusi kempen Poplook Gives Back with Siti Saleha, duit pembelian koleksi pakaian dan tudung akan diserahkan kepada Cancer Research Malaysia sebagai membantu penyelidikan mereka.

“Melalui kerjasama ini, Poplook melancarkan koleksi pakaian dan tudung eksklusif serta terhad.

“Saya juga terbabit sama dalam proses memberi idea dan rekaan baju serta tudung,” ujarnya.

Khabarnya, 30 peratus daripada jualan tersebut akan diserahkan kepada institut tersebut sebagai dana penyelidikan mencari penawar penyakit itu.

Mengenai perkembangan seninya pula, Saleha bakal muncul dalam drama adaptasi novel Mandatori karya Ramlee Awang Murshid.

Saleha bakal bergandingan dengan hero pujaan ramai, Aeril Zafrel sebagai teraju utama drama ini dan akan ditayangkan di saluran Astro First bermula Disember ini.

sumber : mynewshub

Sharing is caring!